SEPTEMBER 2023

Hormati Asas Penubuhan, Perjuangan GPS


KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di semua kerusi dalam mana-mana pilihan raya akan datang di Sarawak. 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang di-Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini seperti yang telah dimaklumkan oleh Yang di-Pertua Parti untuk memastikan Sarawak terus stabil dan maju demi rakyatnya. 

"Ini adalah pendirian yang disokong sepenuhnya oleh ahli-ahli Parti PBB seluruh Sarawak,” katanya ketika Konvensyen Khas Parti PBB Sarawak 2023 di Satok Ballroom, Pusat Konvensyen Hikmah Exchange di sini, hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan Premier Sarawak yang juga Yang di-Pertua Parti, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen Khas berkata, Parti PBB sebagai tonggak utama GPS haruslah sentiasa memastikan perpaduan dan kekuatan GPS. 

"Kita tidak mahu dan akan menentang apa juga usaha untuk melemahkan dan memecahbelahkan GPS sama ada dari dalam ataupun luar GPS," tambahnya.

Katanya, komponen-komponen parti dalam GPS bukan sahaja dituntut sehaluan dalam membuat keputusan malah harus menghormati asas penubuhan dan perjuangan GPS.

Sumber dari : Jiwa Bakti